Tuesday 1 April 2008

Puasa

Puasa

606 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu

607 Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w telah menyebut tentang bulan Ramadan dengan sabdanya: Janganlah kamu berpuasa sebelum kamu melihat anak bulan Ramadan dan janganlah kamu berbuka sebelum kamu melihat anak bulan Syawal. Sekiranya ia dilitupi awan, hendaklah kamu menghitungnya

609 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba bulan Ramadan melainkan orang yang biasa berpuasa dengan puasa yang tertentu maka bolehlah dia berpuasa

616 Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya

617 Hadis Zaid bin Thabit r.a katanya: Kami pernah bersahur bersama Rasulullah s.a.w. Setelah itu kami pun menunaikan sembahyang Subuh. Kemudian aku bertanya: Berapakah selang waktu di antara keduanya? Baginda menjawab: Kira-kira bacaan lima puluh ayat

621 Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w telah melarang dari menyambung puasa. Para Sahabat bertanya: Bukankah kamu sendiri melakukan puasa seperti itu? Nabi s.a.w menjawab: Aku tidak seperti kamu. Aku diberi makan dan minum oleh Allah

627 Diriwayatkan daripada Aisyah dan Ummu Salamah r.a, kedua-duanya berkata:: Nabi s.a.w bangkit dari tidur dalam keadaan berjunub bukan dari mimpi kemudian meneruskan puasa

632 Hadis Anas r.a: Diriwayatkan daripada Humaid r.a katanya: Anas r.a pernah ditanya tentang berpuasa sewaktu musafir di bulan Ramadan. Katanya: Kami pernah musafir bersama Rasulullah s.a.w di bulan Ramadan. Orang yang berpuasa tidak mencela orang yang berbuka dan sebaliknya orang yang berbuka tidak mencela orang yang berpuasa

634 Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Hamzah bin Amru al-Aslami pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai masalah berpuasa dalam perjalanan iaitu musafir. Baginda bersabda: Sekiranya kamu ingin berpuasa teruskanlah dan jika kamu ingin berbuka, berbukalah

638 Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Kaum Quraisy di zaman jahiliah berpuasa pada hari Asyura dan Rasulullah s.a.w juga berpuasa pada hari itu. Setelah berhijrah ke Madinah, baginda tetap berpuasa dan memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari itu. Setelah difardukan puasa bulan Ramadan, baginda bersabda: Sesiapa yang ingin berpuasa pada hari itu berpuasalah dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa, dibolehkan meninggalnya

643 Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan menjadikannya sebagai Hari Raya. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Berpuasalah kamu pada hari Asyura tersebut

644 Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Ibnu Abbas r.a pernah ditanya mengenai masalah berpuasa pada hari Asyura. Beliau menjawab: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa sehari pada hari Asyura kerana mencari kelebihan iaitu fadhilat yang tidak ada pada hari-hari yang lain selain dari hari ini. Aku juga tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan ini, iaitu bulan Ramadan

652 Diriwayatkan daripada Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Ketika turun ayat: Yang bermaksud: Dan diwajibkan bagi orang yang tidak terdaya melakukannya iaitu berpuasa supaya membayar fidyah (memberi makan kepada orang miskin). Menyebabkan ada seseorang yang ingin berbuka dan membayar fidyah. Sehingga turunlah ayat berikutnya yang menasakhkannya

654 Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang meninggal dunia dan masih mempunyai puasa ganti, maka diwajibkan ke atas walinya supaya berpuasa sebagai gantinya

656 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa

658 Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun

662 Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-As r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah diberitahu bahawa aku pernah berkata: Aku akan beribadat di waktu malam dan akan berpuasa pada siang hari sepanjang hidupku. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Engkaukah yang telah berkata demikian? Aku berkata kepada baginda: Akulah yang telah berkata demikian wahai Rasulullah s.a.w! Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau tidak akan berkuasa melakukannya. Baginda menambah: Berpuasa dan berbukalah. Tidur dan beribadatlah di waktu malam. Berpuasalah tiga hari dalam sebulan kerana satu kebajikan itu akan dibalas dengan sepuluh kebajikan yang menyamai berpuasa setahun. Lalu aku berkata kepada Rasulullah s.a.w: Aku mampu melakukan lebih dari itu. Baginda bersabda: Berpuasalah sehari dan berbukalah dua hari. Aku berkata kepada baginda: Aku mampu berbuat lebih dari itu. Rasulullah s.a.w bersabda: Berpuasalah sehari dan berbukalah sehari. Itulah cara puasa Nabi Daud a.s dan puasa yang sederhana. Aku berkata lagi: Aku masih mampu berbuat lebih dari itu. Baginda bersabda: Tiada yang lebih baik dari itu. Abdullah bin Amru r.a berkata: Tentu saja aku terima berpuasa tiga hari sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w yang aku lebih cintai daripada isteri dan hartaku

663 Diriwayatkan daripada Imran bin Hussain r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda kepadaku atau kepada seorang lelaki: Adakah kamu berpuasa pada pertengahan bulan Syaaban? Aku menjawab: Tidak. Baginda bersabda: Kalau begitu, berpuasalah selama dua hari

664 Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Terdapat beberapa orang dari kalangan Sahabat Rasulullah s.a.w telah bermimpi melihat Lailatulqadar pada tujuh hari yang terakhir. Rasulullah s.a.w bersabda: Mengikut Pandanganku, mimpi kamu bertepatan dengan tujuh hari yang terakhir. Oleh itu sesiapa yang ingin mencarinya hendaklah mencarinya pada tujuh hari yang terakhir tersebut

400 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah berpesan kepada ku dengan tiga perkara, berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melakukan sembahyang Dhuha dua rakaat dan melakukan sembahyang sunat witir sebelum tidur

407 Hadis Aisyah r.a: Diriwayatkan daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman katanya: Sesungguhnya dia bertanya kepada Aisyah: Bagaimanakah sembahyang Rasulullah s.a.w pada bulan Ramadan? Aisyah menjawab: Rasulullah s.a.w tidak menambah bilangan rakaat sembahyangnya lebih dari sebelas rakaat samada pada bulan Ramadan ataupun pada bulan-bulan lain. Baginda mendirikan sembahyang sebanyak empat rakaat dan janganlah kamu bertanya mengenai kesempurnaannya serta tempoh masanya. Kemudian baginda mendirikan sembahyang sebanyak empat rakaat lagi. Janganlah kamu bertanya mengenai kesempurnaannya dan tempoh masanya, seterusnya baginda mendirikan lagi sembahyangnya sebanyak tiga rakaat. Aisyah menceritakan bahawa dia telah bertanya Rasulullah: Wahai Rasulullah! Adakah kamu tidur sebelum kamu melakukan sembahyang Witir? Baginda menjawab dengan bersabda: Wahai Aisyah, sesungguhnya kedua mataku tidur tetapi hatiku tetap sedar

1103 Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Pada hari pembukaan iaitu pembukaan Kota Mekah Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada Hijrah selepas pembukaan Kota Mekah. Yang masih ada ialah jihad dan niat. Apabila kamu diminta untuk keluar berjihad, maka lakukanlah

1351 Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w adalah Seorang yang paling dermawan dalam hal-hal kebaikan. Baginda lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan. Sesungguhnya Malaikat Jibril a.s telah bertemu dengan baginda setiap tahun pada bulan Ramadan sehingga berakhir Ramadan. Rasulullah s.a.w membaca al-Quran di hadapannya. Apabila Rasulullah s.a.w bertemu dengan Malaikat Jibril, maka baginda adalah orang yang paling dermawan dalam hal-hal kebaikan melebihi angin kencang yang diutuskan

Komentar
0 Komentar

0 komentar:

Post a Comment

.
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More